Poinnya, aku teringin nak ada kampung.
Bakar nak keluar ke mana-mana tak? Jalan-jalan ke? Tanya ibuku.
Tak apa lah Ummi, Bakar duduk rumah je. Ringkas jawapanku.
Tak balik mana-mana ke dik?
Tak Pakcik, tak ada kampung sejak kecil lagi. Datuk nenek dua-dua belah kembali awal-awal lagi.
Itulah dialog aku dengan orang-orang yang aku jumpa di surau setiap tahun seusai sahaja menggemakan takbir bersama-sama. Serius, aku bukanlah nak sedih tak tentu pasal. Cuma keinginan yang perlu dipenuhi hanya sekali, suasana atau udara kampung yang penuh suara dan warna keceriaan aku teringin sangat nak rasai. Walaupun sekali. Cukup.
Itu masa kecil. Rasanya sekarang tak sedih dah untuk itu. Aku baru sedar ada perkara lain yang perlu aku bersedih atasnya.
*****
Ramadhan kali ini Ramadhan yang cukup indah. Cukup-cukup indah. Ramadhan yang paling indah dalam hidup aku. So far. Qiyamullail di masjid yang sarat dengan orang-orang soleh. Tilawah tak kira tempat dan juga bertemu dengan orang yang juga membaca suratNya tak kira masa. Zikrullah pun pasti mengisi kerehatan. Allah... Sangat indah !
Mudah cerita, target aku semua tercapai. Mungkin sebab aku letakkan safe target. Target yang sememangnya aku mampu capai. Langsung aku tak cabar diri aku untuk buat lebih daripada kemampuan. Target aku untuk Ramadhan 1433:
1)Khatam al-Quran 1
2)Baca 2 buah buku
3)Infaq RM1 per hari
4)Qiyam pendek per hari
Ya Allah, bila semak-semak semula target macam bukan seorang saudagar Ramadhan yang benar-benar melayani tawaran Allah yang begitu tinggi nilai ganjarannya.
Sepuluh terakhir Ramadhan tu mula aku mencari Allah betul-betul. Susah rupanya. Kadang-kadang datang pemikiran atau niat yang tak baik. Sebabnya, itulah jiwa aku yang aku bina sebelum Ramadhan. Baru aku sedar dan menyesal. Ruginya aku tak membina diri aku untuk Ramadhan 1433. Disebabkan dosa dan jahiliyah yang telah sebati dan mendarah daging dalam diri, jiwa, hati aku, aku hadapi kesukaran mencariNya. Perkara-perkara lama sedikit sebanyak menghantui aku di kala mengasingkan diri dari kebatilan. Aku mula tersedar, Ramadhan ialah sekolah untuk mengenal diri aku yang sebenarnya.
*****
Tanggal 29 Ramadhan 1433, Maghrib.
Kedengaran suara azan dari ruang tamu rumah aku. Memecah kesunyian rumah aku walaupun rumah ini hanya tak cukup seorang saja lagi, Kakak dan Abang Ipar yang masih mengemas rumah mereka. Semua ahli keluarga aku berdoa. Tak terkecuali seorang pun. Aku berdoa dan berdoa. Hatiku dapat merasakan kepedihan kerana aku diberhentikan daripada sekolah istimewa ini. Cukup sedih.
Aku persis tak mahu berbuka. Mahu terus berdoa supaya dikekalkan dalam akademi agung ini. Allah, itulah penyesalan, kekecewaan, kesedihan yang tiada tandingannya. Rasanya seperti ditinggalkan oleh seseorang yang intim hubungannya dengan aku. Allah... Aku baru tersedar Ramadhan indah yang aku lalui itu rupanya baru sebuah permulaan. Permulaan untuk menyedarkan aku agar benar-benar menyesal dan berubah.
Aku lebih terasa kehilangan kerana aku terbaca artikel ini.
*****
Aku berfikiran positif. Selepas raya aku mahu terus meningkatkan amalan dan hubungan aku dengan Allah lebih daripada apa yang aku bina pada Ramadhan indah yang aku lalui itu. Aku takkan biarkan Ramadhan 1434 tidak lebih indah daripada Ramadhan 1433. Tekad aku meninggi. Subhanallah...
Aku mahu berdoa seperti sahabat-sahabat Rasulullah terdahulu. Berdoa sepanjang tempoh 6 bulan selepas raya agar amalan-amalan aku yang sangat sedikit itu diterima disisi Allah. Aku risau Ramadhan yang anggap indah itu hakikatnya, nihil, kosong, telanjang tanpa sedikit pahala dan keredaanNya.
Seterusnya aku berazam untuk bersedia 6 bulan sebelum Ramadhan yang akan datang. Persediaan aku dengan qiyamullail, tilawah, zikrullah, ma'iyyatullah yang konsisten sebelum menyambutnya lagi. Insya-Allah, aku yakin aku akan berjaya melakukan persediaan-persediaan itu. Dengan pertolongan Allah.
Ramadhan 1434 aku mahu jadi saudagar terkaya Ramadhan. Aku mahu membuktikan kepadaNya !
Aku begitu perlukanNya.
1 Syawal 1433, 11.30pm
Pengejar mardotillah yang masih berduka.